Rabu, 18 November 2009

MALAM NOSTALGIA MAKTAB PERGURUAN BAHASA@ INSTITUT BAHASA@IPBM@IPBMM@IPGM KBM

Ahli Jawatankuasa Institut Bahasa dengan penuh takzim mengundang semua bekas pelajar Maktab Perguruan Bahasa@Institut Bahasa@Institut Perguruan Bahasa Melayu@Institut Penguruan Bahasa Melayu Malaysia@Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu ke MALAM NOSTALGIA INSTITUT BAHASA 1962-1965. Maklumat berkaitan Malam Nostalgia ini adalah seperti berikut:

Tarikh: 8 Disember 2009
Masa: 8.00-11.00 malam
Tempat: Dewan Za'ba, IPGM Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai, Kuala Lumpur

Malam Nostalgia yang dijadualkan pada 5 Disember 2009 terpaksa ditunda ke tarikh 8 Disember atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Atur Cara:
7.45 malam:
Ketibaan tetamu

8.15 malam:
Sesi ramah mesra bersama bekas pelajar Maktab Perguruan Bahasa 1962-1965

8.30 malam:
Ucapan alu-aluan pengacara majlis
Doa
Jamuan Makan Malam
Ucapan Pengarah IPGM KBM
Ucapan Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim (Penaung Alumni Institut Bahasa)
Persembahan Kebudayaan
Persembahan Pelajar IPGM KBM
Bersurai

Tema Pakaian: Era 60-an

Sebarang pertanyaan, sila hubungi: 012-3768300 (Tn Hj Omar Mamat) atau 019-2639481 (Pn Norhayati Md Yatim) atau 013-3529995 (Encik Rohimi Jamel)

Isnin, 23 Februari 2009

Rutin Harian

Oleh : Zulfadli Zainal Abidin (KPLI-SR-BM-Jan2008)

Hari bermula pada jam 6.00 pagi. Memang susah hendak bangun pagi di sini. Maklumlah, rumah di kaki gunung. Sejuknya terasa sehingga ke tulang sum-sum. Jika mandi, tak perlu dikata. Memang sejuk sehingga menggigil-gigil. Ibarat mandi air batu. Kalau rajin aku masak air dulu untuk mandi air panas.

Usai mandi, sembahyang subuh dan terus bersiap-siap untuk sesi persekolahan. Persiapan ala kadar sahaja. Buat pengetahuan semua, di sini baju tidak perlu digosok kerana jika kita menggosok baju, pasti akan berlaku gangguan elektrik. Maklum sahajalah, punca elektrik datangnya daripada generator dan bekalan elektrik pula dikongsi bersama-sama 4 buah rumah guru yang lain.

Bagi mengelakkan baju berkedut, semasa basuh, kami hanya mencuci ala kadar dan memberus kawasan yang kotor. Selepas itu, baju dibilas dan tanpa diperah terus dijemur. Begitulah setiap hari.

Sekolah bermula pada jam 7.30 pagi. Suasana pagi di Kampung Ensika sungguh mendamaikan dan menyegarkan. Murid-murid kelihatan riang dan bersemangat untuk ke sekolah. Itulah satu kelebihan murid-murid di kawasan pedalaman. Mereka tidak jemu untuk ke sekolah, namun masih ada juga yang bersikap bermalas-malasan. Masalah itulah yang cuba diatasi oleh guru-guru di sini. Jika ada murid yang tidak hadir, GPK HEM sendiri akan ke rumah panjang mencari dan bertanya sebab mengapa murid tidak hadir.

Waktu rehat ialah pada jam 10 pagi. Semua murid akan bergerak ke bilik Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk menikmati makanan yang dimasak secara bergilir-gilir oleh ibu mereka. Tiada istilah kantin yang wujud di daerah ini. Bagi kami kaum guru, semuanya akan pulang ke rumah untuk memasak apa yang patut. Bagi diriku, cukuplah sekadar milo panas dan beberapa keping biskut buat alas perut. Jika berkesempatan, aku akan memasak mi maggi pelbagai perasa, mengikut mood dan selera.

Sesi persekolahan tamat pada jam 1 petang. Namun bagi tahap 2, kadang-kala sesi persekolahan berlanjutan sehingga jam 1.30 atau 2 petang. Bagi guru yang sudah tiada kelas, bolehlah pulang ke rumah selepas jam 1 petang. Namun, ramai yang mengambil kesempatan untuk menyiapkan tigasan-tugasan yang belum selesai.

MAKANAN RUJI

Oleh : Zulfadli Zainal Abidin (KPLI-SR-BM-Jan2008)


Makanan ruji aku di kawasan ini ialah beras. Namun, aku jarang menikmati hidangan tengahari. Maklumlah, kadang kala tiada apa yang hendak dimasak. Jadi aku hanya memakan biskut beberapa keping untuk alas perut. Jika rajin, aku hanya membancuh tepung gandum untuk dibuat cucur bawang. Hidangan ala kadar ini sungguh menyelerakan aku.

Aku akan memasak apabila generator telah dihidupkan. Hidangan malam bergantung kepada bahan apa yang ada di dapur. Makanan tin, terpaksa dijimat-jimat. Manalah tau jika berlaku banjir seperti dulu, sekurang-kurangnya ada juga makanan untuk dinikmati. Jika ada orang kampung yang pergi ke hutan, mereka akan datang ke rumah menjual sayur-mayur. Sayur yang popular semestinya pucuk paku. Kalau di KL, RM 1 pucuk paku hanyalah cukup-cukup makan buat keluarga, namun di sini, pucuk pakunya gemuk-gemuk belaka. RM 1 cukup untuk dibuat lauk 2 atau 3 hari.

Jika ada yang pergi menjala ikan di sungai, adalah rezeki aku untuk mendapatkan sumber protein. Antara ikan yang sering aku dapat seperti ikan talapia sungai, ikan baung dan toman. Jika ikan yang ditangkap orang kampung terlalu banyak, mereka akan membuat ikan salai. Jiranku, yang juga GPK1, Cikgu Steven namanya, mengajar satu resepi istimewa iaitu sup ikan toman salai. Tumis bawang merah, bawang putih, halia dan masukkan air dan garam secukup rasa. Kemudian, masukkan ikan toman salai yang telah dipotong-potong. Emmmm...sememangnya sedap. Kalaulah aku ada bahan-bahan lain seperti daun sup, daun bawang dan bawang goreng, pastinya sup ikan toman salai lebih ummmphh.

Sejak datang ke sini, memang aku tidak pernah lagi makan daging ayam. Memang terasa rindu nak menjamah ayam goreng ataupun ayam masak kari masakan ibu. Bagi mengubat kerinduan, kari ayam jenama Yeo’s menjadi pengganti. Perasaan sebak ketika menikmati hidangan sering kali menjelma kerana terkenangkan keluarga di semenanjung. Jika bersama keluarga, pasti kecoh semasa makan, berbual-bual mengenai aktiviti yang berlaku sepanjang hari. Kini, makan malam hanya ditemani rakan serumah.

Sabtu, 24 Januari 2009

Catatan Perjalanan Guru Permulaan : Dari IPBMM ke SK Rajau Ensika, Simunjan, Sarawak

Oleh : Zulfadli Zainal Abidin (KPLI-SR-BM-Jan2008)

(Inilah kandungan sebenar email yang dititipkan oleh bekas pelajar IPBMM atau sekarang IPGM Kampus Bahasa Melayu kepada saya pada 23 Januari 2009 yang lalu. Saya tidak berniat untuk mengubah apa-apa isi kandungan mel elektronik ini bagi mengekalkan keaslian kandungannya. Namun begitu, ada nama yang terpaksa saya rahsiakan demi mengelakkan sebarang prasangka yang tidak diingini.)

Puan Sarimah. Apa khabar. Saya ni Zulfadli, KPLI BM 2008.Harap tak lupa saya di Sarawak ni. Saya kirimkan cerita saya dan kawan2. MAaf la cerita ni saya post kat blog saya di friendster, so gunalah kata ganti diri pertama yang kasar sket. Harap puan beritahu cerita saya buat semua pensyarah, expecially Cik HAmidah dan Datin Anismah dan sampaikan salam saya pada mereka semua di JAbatan Bahasa dan IPBMM. Rindu kenangan di IB.

Posting
Akhirnya aku posting juga...setelah lama menanti aku dengan penuh debar menyemak negeri aku dipostingkan...Jeng jeng jeng, ternyata dapat ke negeri Sarawak....suka ada, seram pun ade...maklum la negeri terbesar di Malaysia.Macam-macam ada....hahahah
4 Januari, terabanglah aku ke bumi kenyalang...ternyata aku ditempatkan di daerah Kota Samarahan...aku seronok maklumlah Samarahan ni digelar Kota Ilmu...ada UNIMAS, UiTM dll...namun apakan daya, Samarahan pun besar dan aku ditempatkan di kawasan Ulu Samarahan...terkejut betul aku...kat daerah kecil Simunjan...

MAka, bergeraklah pula aku ke Simunjan dengan pelbagai rasa...sepanjang perjalanan nampak hutan jek...takde nampak bangunan2 pun.memang nyaman dan tenang tapi cabaran sebenar tak tau lagi.

Sampai je kat Simunjan (setelah perjalanan 3jam yang mengazabkan), kami terus ke PPDK Simunjan. Di sana para Guru Besar dah menunggu nak menjemput kami untuk di bawa ke sekolah.Tapi aku, bayang Guru Besar (GB) tak kelihatan.rupenye sibuk ade urusan lain.KEnalah bermalam kat Simunjan.

Dijemput Guru Besar
Esoknya, kami dijemput oleh GB. Namanya En Jodon ak Jakot, orang Bidayuh. KAmi menaiki bot PPDK Simunjan. Perjalanan dari Pekan Simunjan ke Pekan Sebangan (pekan terdekat dengan SK RAjau Ensika) menaiki bot mengambil masa 2 jam. Dah la hujan, Sungai pula bergelora...macam laut.

Setibanya di sebangan, aku dan 3 orang lagi guru perempuan menaiki bot yang lebih kecil untuk ke sekolah. Ini kerana sekolah kami terletak di kawasan sungai berpaya. Adoi, tak larat dah nak angkut beg yang berat sebenarnya...hai cabaran betul...

NAik bot kecik ke SK Rajau Ensika pula mengambil masa 1 jam. LAgi seram naik bot kecil sebab katanya Sungai Sebangan ni lubuk buaya...aduh terus terbanyangkan semua spisis buaya, Steve Irwin, Bujang Senang dan laian2..hahahah.nampak je batang kayu kami semua kecut perut sebab nampak sebiji macam makhluk tu...

Sampai kat sekolah hampir jam 3lebih. NAsib la rumah disediakan dan dekat dengan sekolah. Lebih kurang 100meter je.

Latar Belakang Sekolah
SK Rajau Ensika mempunyai jumlah murid 32 orang shj. Guru sebelum kedatangan kami hanyalah 5 orang, termasuk GB. KErani takde, kamilah guru kmilah kerani.hahaha. Sek ni merupakan sekolah cemerlang sek rendah di daerah Simunjan.Dah 5tahun berturut2 dapat keputusan 100%. Satu cabaran baru buat aku dan kawan2 untuk mengekalkan prestasi cemerlang tu.

KAwasan rumah kami dipanggil kuaters guru. nama best tapi umah sebenarnya umah papan macam umah kampung. KAmi takde letrik, yang ada hanya generator bermula jam 6-30ptg hingga 10.30malam.pastu gelap-gulita. Air pula guna air bukit n air tadahan hujan. Rumah panjang dekat gak la ngan kawasan rumah kami...anjing tak yah cakap la...banyak...nasib la si "kerbau pendek' takde...syukur sangat. MAKAN??? masalah gak tu.makan je la pucuk2 kayu yang tumbuh keliling kampung...hahaha.nak ikan, g la pancing sendiri.kalo ade orang kampung nak bagi, kita amek dengan penuh kesyukuran.

TAk sampai seminggu dah banjir pula kat sekolah. 12hb, berlakulah banjir besar di SK RAjau Ensika. Umah aku yang tepi sungai(dalam 50 meter), dinaiki air paras peha aku...adoi, terpaksa la aku pindah ke rumah.sekolah ditutup selama seminggu....seksa, hanya Allah shj la yang tau....nak nangis memang ada tapi ditahan juga...

gitu la serba sedikit kisah aku sebagai Guru Pedalaman. Tipu la kalau aku kate aku suke...Suasana, bahasa, budaya dan adat memang berbeza sangat. Aku dan rakan2 akan cuba la untuk adapt dengan suasana ini...So, berkorban untuk negara.

Sekian berita dari SK Rajau Ensika...jumpa lagi di siaran akan datang...Insya Allah. Harapan aku, doakan sahaja aku dan rakan2 berjaya dalam mendidik anak bangsa.
Salam.

ps: untuk makluman puan dah ramai guru2 baharu yang melarikan diri kerana tidak sanggup dengan hidup di kawasan pedalaman. KAwan saya si R***** pun begitu juga katenye, tapi sehingga kini masih misteri mengenai kebenarannya.

cerita ni memang elok untuk junior2 di Maktab. untuk pengetahuan puan, Program B.I.G. memang berguna. HAri ni kami terpaksa berjalan kaki hampir 6km selama 2jan setengah untuk keluar dari sekolah untuk bergerak ke Kuching. Adohai, memang penat...hahahah.berbaloi memang berbaloi...

k puan, insya allah saya akan menulis lagi untuk siaran akan datang.cerita di atas sebenarnya banyak lompong lagi...masih banyak yang belum dicerita.hajat di hati nak karang novel..huhuhu.oakan saya berjaya di SK Rajau Ensika...
Salam...

Ahad, 2 November 2008

MENGANYAM KENANGAN

IPGM Kampus Bahasa Melayu melakar satu lagi sejarah pada hari ini apabila secara rasminya telah menubuhkan persatuan bekas pelajar kampus ini yang secara rasminya juga menjadikan ikon kampus tersebut iaitu Yang Berhormat Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Luar Negeri Malaysia sebagai penaung kepada persatuan. Beliau merupakan bekas pelajar yang menerima latihan perguruan selama dua tahun di sini mulai tahun 1963.

Dalam majlis yang dinamakan sebagai majlis perasmian penubuhan alumni dan jamuan makan "MENGANYAM KENANGAN" tersebut, Yang Berhormat Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim telah memberikan sumbangan dana sebanyak RM46,460.46 atas kapasiti peruntukan Menteri Luar Negeri bagi menampung pelbagai aktiviti memartabatkan bahasa, budaya dan sastera Melayu.

Selain itu, Yang Berbahagia Datin Seri Utama Masnah Rais turut memberi sumbangan yang berupa buku hasil tulisan beliau kepada Pusat Sumber IPGM Kampus Bahasa Melayu.

Dua rangkap pantun untuk menggambarkan betapa pihak IPGM Kampus Bahasa Melayu menghargai jasa dan budi baik Yang Berhormat Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim dan Yang Berbahagia Datin Seri Masnah Rais:

Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek bawa ke tanjung;
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi yang baik rasa nak junjung.

Memintal tali membuat jala,
Lukah di pasang di Tanjung Jati;
Budi baik sedikit tak lupa,
Bagai rambut tersimpul mati.

Seluruh warga kerja pelaksanaan pertemuan bekas pelajar IPGM Kampus Bahasa Melayu mengucapkan setinggi-setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang tenaga yang tidak berbelah bahagi kepada kampus ini dan juga dalam merealisasikan impian menubuhkan alumni yang berdaftar secara rasmi dalam usaha merancakkan lagi aktiviti membangunkan dan melestarikan martabat bahasa, budaya dan sastera Melayu di persada tempatan dan juga di luar negara.

Semoga usaha kita semua akan diberkati Allah s.w.t. dan kita semua diberikan kesihatan dan keberkatan atas apa juga usaha yang kita lakukan demi mengangkat kualiti pendidikan di negara kita ini. Terima kasih daun keladi daripada ahli jawatankuasa penaja penubuhan alumni IPGM Kampus Bahasa Melayu kepada semua.

Jumaat, 31 Oktober 2008

TERKINI TENTANG ALUMNI

PERHATIAN KEPADA SEMUA BEKAS PELAJAR LI/MPB/IB/IBMM/IPBMM

Kedua-dua majlis iaitu Sepetang Bersama Tokoh ALUMNI dan Makan Malam ALUMNI telah digabungkan menjadi satu iaitu :

MAJLIS PELANCARAN ALUMNI IPGM KAMPUS BAHASA MELAYU

TARIKH : 2 NOVEMBER 2008

MASA : 8.30 PAGI-1.00 TENGAH HARI

TEMPAT : DEWAN ZA'BA IPGM KAMPUS BAHASA MELAYU,
LEMBAH PANTAI, KUALA LUMPUR

TETAMU KEHORMAT : DATUK SERI UTAMA DR RAIS YATIM
MENTERI LUAR NEGERI


Sebarang pertanyaan berhubung pelancaran ini boleh diajukan kepada urus setia di talian :
03-22840206 (Puan Norhayati atau Encik Rohimi)

Rabu, 10 September 2008

JAMUAN PERDANA ALUMNI 50 TAHUN IPBMM

TARIKH: 18 OKTOBER 2008
MASA: 8.00 MALAM
TEMPAT: DEWAN ZA'BA

Ahli Jawatankuasa Pengelola/Pelaksana:

AJK Sambutan:
Dr. Haji Ali Mahmood
Pn. Zuraidah Baharin

AJK Persembahan:
En. Abd. Aziz Mohd Zain
Pn. Sarimah Haji Awang

AJK Publisiti:
Tn. Haji Omar Mamat
Pn. Latifah Mohd Noor

AJK Jemputan:
Pn. Noorhayati Md Yatim
Pn. Sharifah Hanim Syed Akbar

AJK Siaraya:
En. Mohamed Ayob Sukani
En. Mukhtar Zakaria

AJK Persiapan Tempat:
Tn. Haji Abdullah Yahya
En. Rohimi Jamel

AJK Jamuan:
Pn. Zabeha Haji Hussain
Pn. Zaidah Marjan

AJK Pengacaraan:
Dr. Haji Kamaruddin Haji Abu Hassan
Cik Noorzihan Adnan