Ahad, 2 November 2008

MENGANYAM KENANGAN

IPGM Kampus Bahasa Melayu melakar satu lagi sejarah pada hari ini apabila secara rasminya telah menubuhkan persatuan bekas pelajar kampus ini yang secara rasminya juga menjadikan ikon kampus tersebut iaitu Yang Berhormat Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Luar Negeri Malaysia sebagai penaung kepada persatuan. Beliau merupakan bekas pelajar yang menerima latihan perguruan selama dua tahun di sini mulai tahun 1963.

Dalam majlis yang dinamakan sebagai majlis perasmian penubuhan alumni dan jamuan makan "MENGANYAM KENANGAN" tersebut, Yang Berhormat Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim telah memberikan sumbangan dana sebanyak RM46,460.46 atas kapasiti peruntukan Menteri Luar Negeri bagi menampung pelbagai aktiviti memartabatkan bahasa, budaya dan sastera Melayu.

Selain itu, Yang Berbahagia Datin Seri Utama Masnah Rais turut memberi sumbangan yang berupa buku hasil tulisan beliau kepada Pusat Sumber IPGM Kampus Bahasa Melayu.

Dua rangkap pantun untuk menggambarkan betapa pihak IPGM Kampus Bahasa Melayu menghargai jasa dan budi baik Yang Berhormat Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim dan Yang Berbahagia Datin Seri Masnah Rais:

Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek bawa ke tanjung;
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi yang baik rasa nak junjung.

Memintal tali membuat jala,
Lukah di pasang di Tanjung Jati;
Budi baik sedikit tak lupa,
Bagai rambut tersimpul mati.

Seluruh warga kerja pelaksanaan pertemuan bekas pelajar IPGM Kampus Bahasa Melayu mengucapkan setinggi-setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang tenaga yang tidak berbelah bahagi kepada kampus ini dan juga dalam merealisasikan impian menubuhkan alumni yang berdaftar secara rasmi dalam usaha merancakkan lagi aktiviti membangunkan dan melestarikan martabat bahasa, budaya dan sastera Melayu di persada tempatan dan juga di luar negara.

Semoga usaha kita semua akan diberkati Allah s.w.t. dan kita semua diberikan kesihatan dan keberkatan atas apa juga usaha yang kita lakukan demi mengangkat kualiti pendidikan di negara kita ini. Terima kasih daun keladi daripada ahli jawatankuasa penaja penubuhan alumni IPGM Kampus Bahasa Melayu kepada semua.

Tiada ulasan: