Isnin, 23 Februari 2009
Rutin Harian
Hari bermula pada jam 6.00 pagi. Memang susah hendak bangun pagi di sini. Maklumlah, rumah di kaki gunung. Sejuknya terasa sehingga ke tulang sum-sum. Jika mandi, tak perlu dikata. Memang sejuk sehingga menggigil-gigil. Ibarat mandi air batu. Kalau rajin aku masak air dulu untuk mandi air panas.
Usai mandi, sembahyang subuh dan terus bersiap-siap untuk sesi persekolahan. Persiapan ala kadar sahaja. Buat pengetahuan semua, di sini baju tidak perlu digosok kerana jika kita menggosok baju, pasti akan berlaku gangguan elektrik. Maklum sahajalah, punca elektrik datangnya daripada generator dan bekalan elektrik pula dikongsi bersama-sama 4 buah rumah guru yang lain.
Bagi mengelakkan baju berkedut, semasa basuh, kami hanya mencuci ala kadar dan memberus kawasan yang kotor. Selepas itu, baju dibilas dan tanpa diperah terus dijemur. Begitulah setiap hari.
Sekolah bermula pada jam 7.30 pagi. Suasana pagi di Kampung Ensika sungguh mendamaikan dan menyegarkan. Murid-murid kelihatan riang dan bersemangat untuk ke sekolah. Itulah satu kelebihan murid-murid di kawasan pedalaman. Mereka tidak jemu untuk ke sekolah, namun masih ada juga yang bersikap bermalas-malasan. Masalah itulah yang cuba diatasi oleh guru-guru di sini. Jika ada murid yang tidak hadir, GPK HEM sendiri akan ke rumah panjang mencari dan bertanya sebab mengapa murid tidak hadir.
Waktu rehat ialah pada jam 10 pagi. Semua murid akan bergerak ke bilik Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk menikmati makanan yang dimasak secara bergilir-gilir oleh ibu mereka. Tiada istilah kantin yang wujud di daerah ini. Bagi kami kaum guru, semuanya akan pulang ke rumah untuk memasak apa yang patut. Bagi diriku, cukuplah sekadar milo panas dan beberapa keping biskut buat alas perut. Jika berkesempatan, aku akan memasak mi maggi pelbagai perasa, mengikut mood dan selera.
Sesi persekolahan tamat pada jam 1 petang. Namun bagi tahap 2, kadang-kala sesi persekolahan berlanjutan sehingga jam 1.30 atau 2 petang. Bagi guru yang sudah tiada kelas, bolehlah pulang ke rumah selepas jam 1 petang. Namun, ramai yang mengambil kesempatan untuk menyiapkan tigasan-tugasan yang belum selesai.
MAKANAN RUJI
Makanan ruji aku di kawasan ini ialah beras. Namun, aku jarang menikmati hidangan tengahari. Maklumlah, kadang kala tiada apa yang hendak dimasak. Jadi aku hanya memakan biskut beberapa keping untuk alas perut. Jika rajin, aku hanya membancuh tepung gandum untuk dibuat cucur bawang. Hidangan ala kadar ini sungguh menyelerakan aku.
Aku akan memasak apabila generator telah dihidupkan. Hidangan malam bergantung kepada bahan apa yang ada di dapur. Makanan tin, terpaksa dijimat-jimat. Manalah tau jika berlaku banjir seperti dulu, sekurang-kurangnya ada juga makanan untuk dinikmati. Jika ada orang kampung yang pergi ke hutan, mereka akan datang ke rumah menjual sayur-mayur. Sayur yang popular semestinya pucuk paku. Kalau di KL, RM 1 pucuk paku hanyalah cukup-cukup makan buat keluarga, namun di sini, pucuk pakunya gemuk-gemuk belaka. RM 1 cukup untuk dibuat lauk 2 atau 3 hari.
Jika ada yang pergi menjala ikan di sungai, adalah rezeki aku untuk mendapatkan sumber protein. Antara ikan yang sering aku dapat seperti ikan talapia sungai, ikan baung dan toman. Jika ikan yang ditangkap orang kampung terlalu banyak, mereka akan membuat ikan salai. Jiranku, yang juga GPK1, Cikgu Steven namanya, mengajar satu resepi istimewa iaitu sup ikan toman salai. Tumis bawang merah, bawang putih, halia dan masukkan air dan garam secukup rasa. Kemudian, masukkan ikan toman salai yang telah dipotong-potong. Emmmm...sememangnya sedap. Kalaulah aku ada bahan-bahan lain seperti daun sup, daun bawang dan bawang goreng, pastinya sup ikan toman salai lebih ummmphh.
Sejak datang ke sini, memang aku tidak pernah lagi makan daging ayam. Memang terasa rindu nak menjamah ayam goreng ataupun ayam masak kari masakan ibu. Bagi mengubat kerinduan, kari ayam jenama Yeo’s menjadi pengganti. Perasaan sebak ketika menikmati hidangan sering kali menjelma kerana terkenangkan keluarga di semenanjung. Jika bersama keluarga, pasti kecoh semasa makan, berbual-bual mengenai aktiviti yang berlaku sepanjang hari. Kini, makan malam hanya ditemani rakan serumah.